Kepercayaan umum bahawa ubat gigi, kicap atau minyak gamat boleh mengelak kelecuran adalah tidak benar, kata pakar bedah plastik dan rekonstruktif Hospital Umum Sarawak (HUS) John Ranjit Nesaraj.
Bercakap dalam forum umum sempena program Kesedaran Kelecuran di sini,
hari ini, beliau berkata tindakan menyapu bahan berkenaan pada kulit
yang melecur hanya akan menyebabkan kesan melecur menjadi bertambah
serius.
Beliau berkata, tindakan meletakkan ketulan ais pada kulit yang melecur juga boleh memudaratkan.
Sebaliknya, menurut John mangsa perlu menyejukkan bahagian yang melecur
dengan mengalirkan air yang bersih selama 20 hingga 30 minit di
bahagian yang melecur.
“Jika langkah ini tidak dilakukan ia akan menyebabkan bahagian yang melecur merebak lebih dalam dan lebar,” jelasnya.
Katanya, jika kawasan yang melecur telah sejuk, sapukan losyen yang
mengandungi aloe vera, antibiotik atau pelembap kerana ia akan
menjadikan kulit lebih selesa dan lembap.
John yang juga pengelola program berkenaan berkata ia diadakan bagi
meningkatkan kesedaran orang ramai tentang rawatan awal menangani
sebarang kes kelecuran sementara menunggu untuk mendapatkan rawatan
lanjut.
Selain itu, katanya, ia juga bertujuan memberi pendidikan kepada orang
awam tentang situasi berisiko tinggi yang boleh mengakibatkan kelecuran
serta cara-cara pencegahan.
Turut serta dalam forum berkenaan ialah Menteri Muda Kesihatan Awam
Sarawak Datuk Dr Jerip Susil yang turut menyempurnakan majlis penutupan
program dua hari itu. - Bernama
0 Komentar untuk "Tak Boleh Sapu Ubat Gigi, Kicap Pada Kulit Melecur"