Program Jom Bertani Dan Pertanian Bandar Dilancarkan

Program Jom Bertani Dan Pertanian Bandar Dilancarkan

KOTA KINABALU, 11 April (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan program Jom Bertani dan Pertanian Bandar bertujuan menggalakkan rakyat menghidupkan kembali budaya bertani untuk keperluan sendiri.

Ismail Sabri berkata di bawah program itu, kerajaan akan menyalurkan insentif atau bantuan peralatan dan input pertanian kepada rakyat antaranya insentif sektor tananam bernilai RM500, sektor ternakan RM1,000 dan insentif RM5,000 untuk sektor perikanan.

Katanya aktiviti itu bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan seharian, malah dapat menambah sumber pendapatan rakyat sekiranya terdapat lebihan hasil yang boleh dijual.

Program ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melibatkan rakyat dalam pengeluaran makanan bagi keperluan sendiri, katanya ketika berucap melancarkan program itu di sini.

"Import pertanian negara mencecah RM35 bilion merupakan satu angka yang cukup besar dan merugikan. 90 peratus cili padi diimport daripada Thailand, iaitu sebanyak 50 tan cili padi seminggu, mustahil kita tidak mampu menanam cili sendiri di belakang rumah.

"Budaya bertani itu perlu ada kerana saya percaya sekiranya import dapat dikurangkan dan bebanan perbelanjaan dikurangkan, ini akan menguntungkan semua," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata beliau menyasarkan tambahan 700 peserta masing-masing bagi program Jom Bertani dan Pertanian Bandar di Sabah.

"Sebelum program ini dilancarkan secara rasmi di sini, terdapat 665 peserta dengan hasil pendapatan sebanyak RM334,500 dan tahun ini saya mahu penambahan 1400 peserta lagi di Sabah," katanya.

Setakat Februari, program Jom Bertani yang diperuntukkan dana sebanyak RM5 juta untuk melaksanakan fasa satu (projek tanaman) telah menarik 11,355 peserta di seluruh negara dan berjaya menghasilkan bahan makanan seberat 62,659 kilogram bernilai RM139,963.

Setakat April pula penyertaan bagi program Pertanian Bandar membabitkan 11,600 peserta di 570 lokasi dengan 500 lokasi melibatkan 10,300 peserta diselia oleh Jabatan Pertanian dan 1,300 peserta di 70 lokasi lagi dikawal selia agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Susulan sambutan menggalakkan terhadap kedua-dua program terbabit, kerajaan telah memperuntukkan dana tambahan RM15 juta bagi program Jom Bertani dengan diperluaskan kepada subsektor ternakan dan akuakultur dan RM5 juta bagi program Pertanian Bandar.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut mengumumkan Sabah bakal memiliki dua lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Mesilau, Ranau dan Putatan bernilai RM32 juta bagi merancakkan lagi sektor ekonomi dan rantaian perniagaan berasaskan industri asas tani di negeri ini.-- BERNAMA
Share this article :
+
Previous
Next Post »
0 Komentar untuk "Program Jom Bertani Dan Pertanian Bandar Dilancarkan"

Terima Kasih Sudah Berkomentar
 
Template By. Kunci Dunia
Back To Top