Percubaan Jadi Hang Kebun Hidproponik

 Kisah Hidproponik di Malaysia pada tahun 1998 <<<----Adakah ia membuka mata hati rakyat Malaysia khasnya.8 - 04 - 2015 adalah hari pertama percubaan saya menamam sayur melalaui kaedah Hidroponik.Akan di update perkembangan dari masa ke semasa melalui blog ini .
_____________________________________________________________________________



''SEKALI bah sekali pantai berubah'' begitulah juga dengan negara apabila dilanda kegawatan ekonomi sekelip mata mahu rakyat mengubah sikap dan amalan di mana yang perlu demi kepentingan bersama.
Di antaranya kerajaan menyeru rakyat terutama di bandar supaya menanam sayur secara hidroponik bagi menjimatkan perbelanjaan kerana sayur di pasar semakin mahal.

Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor menegaskan negara mampu menjimatkan kira-kira RM600 juta setahun jika lima peratus daripada 20 juta rakyat Malaysia menanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri.

Ramai yang masih kabur apabila mendengarkan perkataan 'hidroponik.' Perkataan hidroponik berasal daripada bahasa Latin sememangnya 'menyulitkan' bagi sesetengah orang kerana ia sering dikaitkan dengan kajian-kajian akademik di institusi pengajian tinggi.

Dengan lain-lain perkataan, kaedah hidroponik atau menanam sayur tanpa menggunakan tanah itu masih asing bagi sebahagian daripada masyarakat kita yang lebih senang membeli sayur di pasar.
Di kampung-kampung pula sayur-sayuran di ditanam di belakang rumah kerana ada kawasan tanah yang luas.

Hakikatnya bagi negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah, Jepun serta Korea tanaman hidroponik sudah berkembang luas.

Ia bukan sahaja digunakan untuk menanam sayur malah lebih daripada itu untuk menanam bunga supaya dapat dipasarkan secara komersial.

Sejarah tanaman hidroponik bermula sejak zaman dahulu kala di Taman Tergantung Babylon (sekarang di Iraq).

Kaedah itu kemudiannya berkembang luas pada pertengahan 1930 dan 1940 di Amerika Utara, Eropah dan Jepun hasil inspirasi Profesor Dr. W. F. Gericke dari California, yang telah menggunakan istilah hidroponik buat pertama kali pada lewat tahun 1920-an.

Pada Perang Dunia Kedua kaedah hidroponik digunakan untuk menghasilkan sayur-sayuran segar bagi tentera Amerika Syarikat yang berpangkalan di Kepulauan Pasifik.

Di kawasan-kawasan peranginan di Caribbean,sayur hidroponik diusahakan untuk bekalan tempatan ketika musim kedatangan pelancong.

Tetapi di negara ini kaedah berkenaan tidak begitu popular kerana rakyat berpengetahuan rendah mengenainya.

Dalam keadaan ekonomi meleset pula, kaedah itu langsung tidak dipedulikan walaupun jika diusahakan mampu membantu suri rumah untuk berjimat-cermat.

Hakikat ini diakui oleh Ketua Jabatan Botani Fakulti Sains Hayat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Ismail Sahid.

Beliau menegaskan, selagi pengetahuan mengenainya tidak disebarkan secara meluas, selagi itulah kaedah berkenaan akan dipencilkan oleh masyarakat.

''Masyarakat tidak mengetahui secara mendalam tentang kaedah menanam sayur-sayuran secara hidroponik walaupun mereka tinggal di bandar.

''Mereka menganggapnya cara yang leceh untuk mendapatkan sayur secara mudah,'' katanya dalam satu pertemuan dengan Utusan di pejabatnya di UKM, Bangi baru-baru ini.

Beliau percaya jika pengetahuan masyarakat mengenainya ditingkatkan dan peralatan hidroponik mudah diperoleh, maka kaedah itu akan lebih popular.

''Saya mendapati peralatan untuk menjalankan penanaman sayur menurut kaedah hidroponik ini susah diperolehi baik di kedai runcit, pasar raya mahupun di pasar malam,'' ujarnya.

''Sebenarnya ramai tidak tahu bahawa modal tidak sampai RM30 diperlukan untuk membeli peralatan seperti takung, benih, nutrian dan sebagainya untuk projek kecil-kecilan di belakang rumah secara berterusan,'' ujarnya.

Kos bagi sebuah takung tanaman yang lengkap dengan baja larutan, benih sayuran, medium percambahan dan bakul pemegang biji benih atau tanaman hanya RM22 sahaja.

''Yang menariknya kita hanya membeli peralatan berkenaan kecuali baja larutan dan benih sekali sahaja, selepas itu ia boleh digunakan secara terus-menerus,'' ujarnya.

Selain itu katanya, individu yang terbabit perlu membina kelambu daripada jaring sebagai pelindung tanaman daripada serangan serangga atau keadaan cuaca tidak menentu yang boleh merosakkan tanaman.

Katanya, dalam keadaan biasa sayuran yang dihasilkan melalui kaedah hidroponik ini sebenarnya jauh lebih berkualiti kerana ia tidak menggunakan bahan kimia.

Jika di Malaysia katanya penduduk di bandar boleh menanam banyak sayuran hijau seperti sawi, kailan, bayam, tomato, kangkung dan salad secara hidroponik.

''Masalahnya di kalangan orang kita pula, jika mereka usahakan tanaman itu pun mereka tidak akan jaga, kerana ia agak leceh,'' ujarnya.

Dalam keadaan tertentu katanya, seseorang yang hendak memulakan tanaman secara hidroponik perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka yang pakar.

Hakikat ini diakui oleh Pengurus Kazz Hidroponik Domestik, Ahmad Yahya yang berkata, beliau menjadi mahir menanam secara hidroponik setelah mendapat nasihat daripada pegawai Jabatan Pertanian Melaka (JPM).

Syarikatnya yang menjadi anak angkat kepada Jabatan Pertanian Melaka dalam program tanaman hidroponik, telah mula beroperasi sejak enam tahun lalu. Beliau yang juga menjadi perunding bagi kaedah tanaman secara hidroponik menjelaskan, sejak akhir-akhir ini banyak pihak menempah peralatan hidroponik yang dijualnya pada harga RM22 sahaja setiap unit.

Menurutnya, setiap set hidroponik ini mengandungi takung domestik, penutup takung, polysterin, benang media, baja khas, penyukat baja dan benih.

''Bayangkan dengan belanja RM22 sahaja seseorang itu boleh mengusahakan tanaman hidroponik sebanyak 10 musim dalam setahun,'' katanya kepada Utusan baru-baru ini.

Menurutnya, apabila set berkenaan diletakkan di atas para yang dibina sendiri di belakang rumah (tetapi mesti dalam kelambu berjaring) tanaman berkenaan hendaklah dibiarkan selama empat hingga lima minggu untuk membesar.

''Sepanjang tempoh itu kita perlu memastikan air dan nutriannya tidak kering untuk mengelakkan sayuran berkenaan mati,'' katanya sambil memberitahu ada baik jika di peringkat permulaan, seseorang itu perlu mendapatkan nasihat pakar.

Beliau yang aktif memberikan ceramah mengenai hidroponik serta mengadakan seminar mengenainya berkata, kaedah hidroponik telah diketahui banyak orang tetapi kebanyakannya malas hendak mengusahakannya.

Setakat ini beliau juga sudah mencuba untuk menanam lobak dan padi secara hidroponik. Beliau bersedia membantu orang ramai yang ingin mencuba kaedah hidroponik.

''Sesiapa yang berminat untuk memulakan kaedah penanaman secara hidroponik boleh menghubungi saya dengan menelefon 06-3515727,'' katanya.

Dalam pada itu, pembantu khas kepada Prof. Ismail iaitu Salmiah Kadri berkata, orang Malaysia perlu mencontohi petani di Jepun yang mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang hidroponik.

Beliau yang membuat kajian khusus mengenai kaedah hidroponik selama tujuh bulan di Osaka dan Tokyo tahun lalu berkata, penduduk negara matahari terbit memberi perhatian yang besar kepada tanaman hidroponik kerana mereka tidak mempunyai tanah.

''Orang kampung di Jepun begitu berbeza dengan orang bandar dan orang kampung kita di sini kerana mereka mempunyai pengetahuan yang luas tentang hidroponik,'' ujarnya.

Bagi para pembaca yang mempunyai kemudahan internet, sama ada di rumah atau di pejabat boleh mendapatkan maklumat mengenai cara menanam sayur secara hidroponik melalui halaman web - http://www.chycor.co.uk/greenthings/page4 atau http://www.hygexpo.com/greenthumb/about.htm.
Share this article :
+
Previous
Next Post »
0 Komentar untuk "Percubaan Jadi Hang Kebun Hidproponik"

Terima Kasih Sudah Berkomentar
 
Template By. Kunci Dunia
Back To Top